CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

NOTA TAMBAHAN


BERITA HARIAN ONLINE

Model baru tangani gejala sosial siap pertengahan tahun depan

Cetak
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang dalam proses menggubal Model Baru Sosial bagi menangani masalah sosial di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie. 

Beliau berkata, model itu akan dibangunkan melalui usaha strategik multi-sektoral dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan. 
Katanya, kementerian turut menggalakkan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk melalui pemberian geran tahunan bagi melaksanakan program menangani masalah sosial khusus dalam bidang dan kumpulan sasaran masing-masing. 

"Antaranya adalah menjalin perkongsian pintar dengan Yayasan Pink Triangle bagi membolehkan mereka mengurus dan memberi perkhidmatan kepada golongan yang menghidap HIV serta kerjasama dengan Yayasan Salam yang memberi kemudahan untuk remaja berisiko tinggi berinteraksi dan mengembangkan potensi diri melalui minat masing-masing. 

"Ia membolehkan remaja memenuhi masa santai dengan kegiatan berfaedah dan mengurangkan potensi terlibat dengan gejala sosial," katanya menjawab soalan Senator Mohamad Yusof Husin di Dewan Negara di sini hari ini. 

Heng berkata, kerajaan juga telah menubuhkan tiga panel penyelaras bagi menjalankan program dan aktiviti kepada golongan sasaran iaitu belia yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan, remaja (Kementerian Pelajaran) dan kanak-kanak (Kementerian Kesihatan). 

"Semua perkhidmatan program dan aktiviti bagi kumpulan sasaran ini dibawa ke Majlis Sosial Negara untuk pertimbangan dan diselaraskan dengan matlamat pembangunan sosial negara," katanya. - BERNAMA


Cari jalan atasi gejala sosial umat Islam

Cetak
SEBAGAI umat Islam yang prihatin, kita semua patut berasa gusar dengan perkembangan yang tidak menyenangkan mengenai keadaan sosial di negara ini. 

Satu daripada petunjuk bahawa keadaan sosial negara berada dalam keadaan membimbangkan ialah laporan peningkatan jumlah kelahiran anak tak sah taraf yang kini mencecah 234, 647 orang sehingga akhir 20satu angka yang sungguh menggerunkan. Menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara baru-baru ini, dari jumlah keseluruhan itu, 80,979 atau 34.5 peratus adalah bayi yang ibu kandungnya beragama Islam. 

Bagi masyarakat Islam, peningkatan jumlah anak tidak sah taraf ini sungguh menakutkan kerana implikasinya amat besar sekali. Bayangkan sekiranya jumlah ini meningkat sehingga berjuta-juta pada masa depan. 

Bagaimanakah masa depan kehidupan anak ini dari sudut keyakinan diri, pergaulan dan urusan muamalat kekeluargaan dan kemasyarakatan? Tentu sekali keadaan ini akan memberi kesan terhadap struktur dan budaya sosial masyarakat Islam secara keseluruhan. 

Masyarakat Islam harus mula membincangkan realiti sosial masyarakat Islam masa depan sebagai persediaan berdepan dengan fenomena baru yang bakal muncul kelak. Barangkali hal ini akan menjadi aspek baru di dalam kajian berkaitan pemikiran sosial Islam kelak. 

Walau apa juga bentuk wacana mengenai persoalan sosial ini pada masa depan, yang pasti ialah kita harus memikirkan dan berikhtiar secara berpasukan bagi mengekang peningkatan masalah ini untuk tahun berikutnya. 
Negara kita harus membuat gerakan pada peringkat nasional menerusi satu pelan kerja yang jelas ke arah mengatasi pemasalahan ini. Untuk itu, satu bentuk gerak kerja bersifat operasi yang bersepadu perlu digerakkan seperti menggunakan model ‘Ops Sikap’ yang dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi masalah peningkatan jumlah kemalangan jalan raya pada musim perayaan. 

Disebabkan permasalahan ini amat besar dan bersifat nasional, proses penyelesaiannya juga mestilah bersifat kebangsaan juga. Saya mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas Kabinet diwujudkan dipengerusikan oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. 

Manakala ahlinya pula terdiri daripada pelbagai wakil peringkat agensi kerajaan dan pertubuhan sukarela Islam dan individu terpilih. Menerusi jawatankuasa kebangsaan ini, agenda dan pelan gerak kerja akan dapat disusun secara bersepadu dan tindakan penyelesaian juga membabitkan seluruh jentera negara. Dalam kata lain, langkah menangani permasalahan sebesar ini tidak lagi harus bersifat jangka pendek dan terpecah-pecah. 

Sebenarnya banyak perkara yang boleh dibincangkan dan diambil tindakan menerusi gerakan bersepadu ini antaranya keperluan menilai semula program pendidikan agama di segenap peringkat supaya proses penghayatannya dapat dihayati secara menyeluruh terutama dari kalangan generasi muda. 

Dalam era masyarakat terbuka ini, peranan agama masih terlalu penting sebagai benteng ilmu dan rohani untuk masyarakat. Di samping aspek ini, isu lain yang juga penting dibincangkan ialah berkaitan dengan keperluan untuk mewujudkan sistem sokongan dalam kalangan pertubuhan madani atau sivil di dalam memperbanyakkan kegiatan hidup positif untuk generasi muda. 

MUHAMAD RAZAK IDRIS,
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).


0 comments:

Post a Comment

Komen anda..